Saturday, 5 April 2014

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD.


1. Puan Guru Ainon Mohd seperti selalunya membentangkan kenyataan yang terang. Begitu benderang hata kepada orang biasa yang baharu mengenal dunia usahawan.
2. Kata Puan Guru, salah satu halangan kejayaan yang kita cipta sendiri adalah perbuatan 'mind-reading' yang negatif. Mind-reading negatif disebut 'suuzon' dalam bahasa Arab. Dalam bahasa biasa, suuzon disebut 'sangka buruk'.
3. Lalu beliau mula menghurai, sangka buruk menyebabkan kita menghalang diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang baik untuk bisnes kita.
Dan beliau mengemukakan percontohan dan bukti. kata beliau, contoh-contoh suuzon adalah:
"Orang kaya takkan mahu singgah membeli nasi lemakku ini.
Maklumlah, kita cuma menjual di tepi jalan sahaja."
"Budak ada ijazah takkan mahu bekerja jadi salesman
dalam syarikat aku yang kecil ini."
"Takkan ada orang yang mahu menjadi pemodal untuk projek cendol aku nih?"
4. Sekali pandang, mind-reading macam contoh yang diberikan oleh Puan Guru itu macam sifat yang baik, iaitu merendah diri dan tidak riak.
Hakikat Nyata, kata Puan Guru ayat-ayat dalam contoh itu menunjukkan seseorag yang menilai bisnesnya sendiri dengan cara yang buruk sekali.
5. Maksudnya kita sendiri merendah-rendahkan bisnes kita sendiri dengan berkata,
Orang kaya pun tak mahu makan nasi lemaknya.
Pemegang ijazah pun tidak mahu bekerja dalam syarikatnya.
Tidak ada pemodal yang percaya idea cendolnya bagus.
6. Puan Guru berkata dengan tegasnya, apabila kita sendiri merendah-rendahkan bisnes kita sendiri, apa lagi yang ada pada bisnes itu. Noktah.
7. Kami yang duduk dalam bilik kuliah ABS atau nama penuhnya Ainon Business School diam sediamnya. Seakan tidak dapat mengupas apa apa. Mungkin kami juga begitu. Suka memperlekeh bisnes sendiri tanpa menyedarinya.
"Rendah diri lah sangat"
8. Menyedari kami banyak berdiam dan tanpa keriuhan seperti biasa, Puan Guru cepat menukar kepada topik baharu. Kali ini beliau menulis besar diatas papan putih perkataan "Modal sosial"
9. Puan Guru menyambung perkongsian beliau. Kata beliau, Berbisnes adalah bersahabat. "Bisnes is relationship". Kawan tolong kawan. Kita tolong kawan kita. Orang tolong kawan orang.
10. Suasana kembali meriah dengan tiap seorang mula memberikan komentar. Puan Guru meneruskan kata kata, Persahabatan adalah modal sosial. Modal sosial adalah modal bisnes yang sangat tinggi nilainya. Dalam situasi tertentu, modal sosial lebih penting daripada modal duit.
11. Hj Wan Hilmi yang selalu bising bising, mula mengambil contoh permainan golf. Puan Guru mencengilkan matanya dan memberitahu golf bukan sunnah.
Hj Wan Hilmi mula mengemukakan hujah. Itulah senda gurau kami dalam memeriahkan kelas.
12. Puan Guru terus menyambung kelas dengan berkata, semakin banyak modal sosial kita, semakin mudah kita menjalankan bisnes.
Bagi menambahkan modal sosial kita, ia memerlukan modal yang banyak. Persahabatan bukan sesuatu yang datang percuma.
13. Puan Guru melontarkan kata kata, orang takkan mahu berkawan dengan kita melainkan mereka SUDAH mendapat keuntungan daripada kita.
Beliau mengemukakan pertanyaan,
Apakah sebabnya orang mahu mengambil kita sebagai sahabat?
14. Kami pun mengemukakan jawapan jawapan kami. Puan Guru terus berkata, sikap mahu mendapatkan sahabat baru tetapi tidak mahu mengeluarkan modal adalah ibarat mahu memancing ikan besar tetapi tidak mahu mengeluarkan modal umpan.
Umpan modal sosial adalah dengan menabur budi,
yakni banyak memberi, memberi, memberi.
15. Puan Guru kemudiannya memberikan Tip mahal bagaimana melabur dalam menuai rezeki.
Kata Puan Guru, Bisnes adalah bersahabat.
Melabur banyak-banyak dalam menjalin persahabatan sesama orang bisnes.
Dalam mencari rezeki, jangan bercerai-berai dengan sahabat-sahabat bisnes kita. Biar rugi sedikit hari ini. Yang penting kita kekalkan persahabatan.
Jangan kecewa. Kekalkan persahabatan. Baiki produk kita.
Rezeki datang macam bas. Terlepas satu bas, tunggu. Sabar.
Nanti akan sampai masanya ada bas lain datang, dan datang, dan datang.
16. Kata kata ini datang bagaikan mutiara mahal cantik berkilau gemerlapan menghiasi suasana. saya bagaikan terpesona dan mula merasa alangkah besarnya yang Allah berikan dapat berguru dengan Puan Ainon Mohd.
Sambil menutup buku dan menyimpan pen, saya mengucapkan ALHAMDULILLAH.

No comments:

Post a Comment