Friday, 4 April 2014

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD.


1. Puan Guru Ainon Mohd memulakan kelas dengan memandang tepat kepada saya.
Risiko bermentor kepada orang-kaya-kontraktor-kerajaan....
"Kalau mahu belajar terbang, berguru kepada burung. Kalau mahu belajar berenang, berguru kepada ikan." Itu kata Bidalan Melayu.
Memilih guru bisnes sangat penting.
Tersalah memilih guru, kita yang menanggung beban hutangnya.
2. Itulah yang saya dan teman alami. Serik bersama orang politik. Mereka mahu pejabat besar. Mereka mahu bergaya sakan. Pengharapan pada kabel boleh menyukarkan kita pada masa depan.
3. Apabila kita mahu memulakan bisnes dalam pasaran 'open market', jangan berguru dengan kontraktor kerajaan yang sudah berjaya dan sudah menjadi kayaraya.
Kontraktor kerajaan akan memberi tip dan nasihat berdasarkan perkara-perkara yang mereka sendiri lakukan.
Perkara-perkara yang mereka lakukan adalah betul dalam kes bisnes kontrak mereka. Ia belum tentu betul bagi bisnes open-market.
4. Nasihat mereka betul sewaktu naungan politik mereka berkuasa. Apabila tiada tunggang langgang hidup mereka. Apabila tiada kabel tali temali yang mengikat, mereka bagaikan layang layang putus tali.
5. Pasaran open-market sangat berlainan dengan pasaran kerajaan. Game-nya sangat berbeza, macam lumba lari dengan lumba berenang. Yang menang di atas padang belum tentu menang di dalam air.
6. Puan Guru menutup topik ini dengan berkata, belajarlah strategi dan taktik survival bisnes open-market dengan berguru kepada mereka yang sudah berjaya dalam open-market.
7. Kami semua diam. Saya yang berpengalaman lagi lah diam. Duduk menghadam kata kata yang datang bagaikan ubat. Jadam pahit. Saya dan teman baharu lepas menyelesaikan hutang berjuta tinggalan kesan kejayaan dapat kontrak beratus juta.
8. Rakan sekelas yang muda muda tidak dapat menghayati tajamnya perkataan Puan Guru Ainon Mohd. Tembus pandang penekunan beliau sampai ke lubuk hati. Saya boleh mengerti sebab saya sudah merasainya.
9. Kemudian tanpa bertangguh, Puan Guru masuk ke topik berikutnya.
Beliau menulis atas papan putih perkataam:
"Falasi pelanggan akan datang dengan sendiri"
10. Berpaling menghadap kami beliau terus berkata,
Banyak pakar bidang percaya bahawa memiliki kepakaran adalah syarat utama membuka bisnes.
Sebagai contoh:
Pertama, Apabila doktor perubatan membuka klinik , maka pelanggan akan datang dengan sendirinya ke klinik nya. Jadi, yang penting, bukalah klinik, barulah pelanggan datang. Lalu klinik pun dibuka.
Kedua, Apabila pakar kecantikan membuka spa, maka pelanggan akan datang dengan sendiri ke spanya. Kalau tidak dibuka spa itu, manakan pelanggan datang, begitulah logik sang pakar.
11. Banyak klinik dibuka, dan selang beberapa lama kekal begitu sahaja.
Banyak salun rambut dan salun kecantikan dibuka, dan selang beberapa lama diam-diam tutup sendiri.
12. Pada saat ini saya teringat perbincangan saya dengan sahabat akrab Tuan Dr Shahrol Abdul Rahim tentang daya tahan klinik dan percakapan saya dengan cikpuan Maziana Yahya bagaimana menarik lebih ramai pelanggan ke SPA ALAMI beliau.
13. Puan Guru Ainon Mohd. menutup kata dengan rumusan berikut:
Adalah falasi bahawa apabila pakar membuka bisnes maka pelanggan akan datang dengan sendirinya. Falasi begini sangat popular dalam kalangan mereka yang memiliki pelbagai kepakaran.
"Ilmu kepakaran, lain. Ilmu bisnes, lain".

No comments:

Post a Comment